ANNYEONG!!!! huhu suka sgt bile bace artikel ni kat metro 27 sept 2011.. support kpop!!!
myMetro | K-Pop tawan Asia
KINS Wu tahu apa yang dicarinya ketika membelek sampel warna rambut di cawangan salun rambut Korea di Manila.
“Saya mahu warna coklat yang sedikit keperangan, macam rambut
Sandara,” kata pekerja hotel berusia 22 tahun kepada kakaknya, merujuk
kepada rambut seorang anggota kumpulan 2NE1, Sandara Park.
Seperti di negara Asia lain, budaya Korea Selatan juga popular di
Filipina daripada muzik, drama televisyen hinggalah kepada fesyen dan
kosmetik. Ia menarik minat ramai penduduk Filipina yang dulunya
‘terikat’ dengan muzik pop Amerika Syarikat (AS) dan filem Hollywood.
Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak menyifatkan ‘K-Pop’ adalah
antara pencapaian luar negara terbaik bagi Korea Selatan dan kerajaannya
mengadakan indeks ‘Gelombang Korea’ bagi mengetahui apa yang boleh
‘dijual’ untuk meningkatkan populariti negara itu.
Tahun lalu Taiwan mendahului senarai ‘pembeli budaya Korea’ dan
menyingkirkan Jepun ke tangga kedua. China, Thailand dan Vietnam juga
termasuk dalam senarai berkenaan.
Menurut Yayasan Pertukaran Budaya Antarabangsa Korea, Malaysia akan
dimasukkan ke dalam senarai berkenaan tahun ini dan Filipina pula pada
awal 2012.
“Korea Selatan membuat�kan ramai golongan muda di seluruh dunia
menggilai K-Pop,” kata Lee dalam ucapan memperingati pembebasan Korea
Selatan daripada pemerintahan kuku besi Jepun pada 1910 hingga 1945 pada
15 Ogos lalu.
Fenomena dikenali sebagai ‘Hallyu’ di kalangan penduduk Korea
Selatan ini bermula dengan siri drama televisyen yang sentiasa meniti di
bibir penonton Asia dari semua peringkat umur.
Ia disusuli muzik K-Pop - dipakejkan dengan gerakan tarian menarik
yang kini menjadi ikutan remaja dari Beijing hinggalah ke Bangkok.
Kejayaan itu bukan berlaku tidak sengaja. Korea Selatan membangunkan
keseluruhan industri seninya dengan mencari pelakon dan penyanyi yang
kacak atau jelita dan melatih mereka menjadi bintang. Setiap gerak geri
artis dibentuk dan diperhatikan, malah penampilan mereka juga sentiasa
diutamakan.
Bukan setakat itu saja, mana-mana artis berbakat akan digabungkan
dalam satu kumpulan contohnya TVXQ dan 2PM; untuk dibimbing supaya
mereka boleh memasuki pasaran antarabangsa.
Muzik Korea Selatan sebenarnya dihasilkan berdasarkan muzik pop AS
dan Eropah, tetapi ia diberikan sentuhan yang lebih segar dengan
persembahan, warna rambut terang dan fesyen yang boleh menarik golongan
muda Asia, kata pen�syarah Universiti Filipina, Profesor George Fabros
yang mengajar di Korea Selatan pada 1990-an.
“Mereka dilatih beberapa tahun sebelum kemunculan pertama di
khalayak ramai dan untuk setiap album, ada konsep berbeza supaya peminat
tidak jemu,” kata Daren Lazaro, 20, pelajar pengurusan di Manila.
Ia juga membuatkan artis dan jalan cerita drama Korea Selatan
berbeza dengan negara lain. Namun kekurangannya ialah ia mungkin
menyekat kreativiti individu, tetapi rating TV, jualan video cakera
digital (DVD) dan jeritan peminat di mana-mana konsert K-Pop membuktikan
formula itu memang berjaya.
Hampir semua saluran utama televisyen di Taiwan menayangkan
sekurang-kurangnya dua siri drama Korea dan program video muzik K-Pop
terkini pada waktu perdana.
Bagi stesen televisyen, lebih murah membeli drama Korea yang popular
daripada menghasilkan program sendiri - yang belum tentu mendapat
sambutan.
“Penghibur Korea mempunyai bahasa badan yang sangat baik untuk
berlawak, malah mereka juga mengelak daripada meng�gunakan bahasa yang
kasar, tidak seperti program terbitan Taiwan,” kata Vivi Ko, kakitangan
kerajaan yang belajar bahasa Korea.
Jeritan peminat ketika konsert K-Pop adalah perkara biasa. Peminat
Thailand contohnya bukan sekadar menjerit, bahkan menjulang sepanduk
berlampu yang dibuat sendiri. Artis Korea pula menandatangani pelbagai
produk termasuklah gula-gula dan skuter yang disasarkan untuk
kanak-kanak dan remaja.
Di Filipina, tema drama Korea Selatan yang mementingkan kasih
sayang keluarga, percintaan dan hakikat kehidupan membuatkan penonton
terpaku di depan televisyen.
Drama Korea dialih ke bahasa Tagalog, malah wataknya turut
diberikan nama seperti orang Filipina. Apabila pelakon terkenal Kwon
Sang-woo melawat Manila beberapa tahun lalu, peminat memanggilnya dengan
nama ‘Cholo’ - nama Tagalognya dalam drama Stairway To Heaven.
Selain itu elemen eksotik - latar belakang atau persekitaran di
Korea Selatan, sama ada jambatan bercahaya yang merentasi Sungai Han
atau kelopak bunga sakura berguguran - sangat menarik hati penonton
Filipina.
Penulis Sparkling, majalah yang dikhususkan untuk K-Pop, terbang ke
Seoul awal tahun ini untuk mencari dan melihat sendiri ‘lokasi panas
Hallyu’ bagi memudahkan pelancong Filipina yang mahu melancong ke negara
artis kesayangan mereka.
Kegilaan ini juga merebak ke negara lain. Remaja Thailand yang mahu
kelihatan seperti orang Korea membeli produk kosmetik dari Korea
Selatan. Antara yang popular ialah kanta sentuh yang boleh membuatkan
mata seseorang nampak lebih bundar, seperti wajah comel dalam karektor
kartun komik Jepun dan Korea.
Yoon Kyung-yeon, pendandan rambut Korea yang bekerja di Manila
berkata, kini ramai pelanggannya mahukan gaya rambut pelakon wanita Ha
Ji-won selepas drama Secret Garden ditayangkan di Filipina. Manakala
lelaki Filipina pula mahukan potongan seperti rambut Lee Min-ho yang
popular menerusi drama Boys Over Flowers.
Christine Rodriguez, 24, penganalisa media sosial di Manila berkata
dia dan kawan-kawan akan berjumpa satu atau dua kali sebulan untuk
‘noraebang’ atau karaoke dalam bahasa Korea.
Tidak boleh bercakap dalam bahasa Korea bukan penghalang untuk
mereka menyanyi dan meniru gerak tari penyanyi kumpulan TVXQ. Biasanya
perjumpaan mereka akan diakhiri di restoran Korea yang terletak di
sebelah pusat karaoke untuk menikmati snek ‘gimbap’ (nasi gulung) atau
‘ddeokbokki’ (kuih beras dalam kuah pedas), makanan jalanan yang popular
dan sering dipaparkan dalam drama Korea.
Rodriguez menganggotai kelab peminat TVXQ yang kini ada 1,000 ahli.
Kelab ini antara lebih 40 kelab yang menyertai Persidangan K-Pop
Filipina kedua tahun lalu. Ia dihadiri 5,000 peminat dan lebih 60,000
suka dengan halaman khusus untuk K-Pop di Facebook.
Katanya, jumlah peminat K-Pop itu melonjak daripada 50 orang yang ditemui dalam forum sembang dan kumpulan e-mel pada 2001.
Miki Acuna, 21, lulusan kejururawatan dari Manila sanggup terbang
ke Thailand dan New York untuk menonton konsert TVXQ. Katanya dia suka
semua aspek mengenai TVXQ dari segi lagu, nyanyian, tarian, gaya dan
penampilan kumpulan itu.
“Golongan muda hari ini mencari penampilan yang baru dan ranggi,”
kata Schedar Jocson, pensyarah Universiti Filipina yang menulis kertas
kerja mengenai pengaruh K-Pop di negaranya.
“Mereka mencari identiti sendiri atau tempat untuk bertapak. Baik
program televisyen atau muzik pop, ia memberikan golongan muda sesuatu
yang membolehkan mereka lebih menonjol dan bereksperimen berbanding
rancangan terbitan tempatan,” katanya. – AP