myMetro | K-Pop tawan Asia
KINS Wu tahu apa yang dicarinya ketika membelek sampel warna rambut di cawangan salun rambut Korea di Manila. “Saya mahu warna coklat yang sedikit keperangan, macam rambut Sandara,” kata pekerja hotel berusia 22 tahun kepada kakaknya, merujuk kepada rambut seorang anggota kumpulan 2NE1, Sandara Park.
Seperti di negara Asia lain, budaya Korea Selatan juga popular di Filipina daripada muzik, drama televisyen hinggalah kepada fesyen dan kosmetik. Ia menarik minat ramai penduduk Filipina yang dulunya ‘terikat’ dengan muzik pop Amerika Syarikat (AS) dan filem Hollywood.
Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak menyifatkan ‘K-Pop’ adalah antara pencapaian luar negara terbaik bagi Korea Selatan dan kerajaannya mengadakan indeks ‘Gelombang Korea’ bagi mengetahui apa yang boleh ‘dijual’ untuk meningkatkan populariti negara itu.
Tahun lalu Taiwan mendahului senarai ‘pembeli budaya Korea’ dan menyingkirkan Jepun ke tangga kedua. China, Thailand dan Vietnam juga termasuk dalam senarai berkenaan.
Menurut Yayasan Pertukaran Budaya Antarabangsa Korea, Malaysia akan dimasukkan ke dalam senarai berkenaan tahun ini dan Filipina pula pada awal 2012.
“Korea Selatan membuat�kan ramai golongan muda di seluruh dunia menggilai K-Pop,” kata Lee dalam ucapan memperingati pembebasan Korea Selatan daripada pemerintahan kuku besi Jepun pada 1910 hingga 1945 pada 15 Ogos lalu.
Fenomena dikenali sebagai ‘Hallyu’ di kalangan penduduk Korea Selatan ini bermula dengan siri drama televisyen yang sentiasa meniti di bibir penonton Asia dari semua peringkat umur.
Ia disusuli muzik K-Pop - dipakejkan dengan gerakan tarian menarik yang kini menjadi ikutan remaja dari Beijing hinggalah ke Bangkok.
Kejayaan itu bukan berlaku tidak sengaja. Korea Selatan membangunkan keseluruhan industri seninya dengan mencari pelakon dan penyanyi yang kacak atau jelita dan melatih mereka menjadi bintang. Setiap gerak geri artis dibentuk dan diperhatikan, malah penampilan mereka juga sentiasa diutamakan.
Bukan setakat itu saja, mana-mana artis berbakat akan digabungkan dalam satu kumpulan contohnya TVXQ dan 2PM; untuk dibimbing supaya mereka boleh memasuki pasaran antarabangsa.
Muzik Korea Selatan sebenarnya dihasilkan berdasarkan muzik pop AS dan Eropah, tetapi ia diberikan sentuhan yang lebih segar dengan persembahan, warna rambut terang dan fesyen yang boleh menarik golongan muda Asia, kata pen�syarah Universiti Filipina, Profesor George Fabros yang mengajar di Korea Selatan pada 1990-an.
“Mereka dilatih beberapa tahun sebelum kemunculan pertama di khalayak ramai dan untuk setiap album, ada konsep berbeza supaya peminat tidak jemu,” kata Daren Lazaro, 20, pelajar pengurusan di Manila.
Ia juga membuatkan artis dan jalan cerita drama Korea Selatan berbeza dengan negara lain. Namun kekurangannya ialah ia mungkin menyekat kreativiti individu, tetapi rating TV, jualan video cakera digital (DVD) dan jeritan peminat di mana-mana konsert K-Pop membuktikan formula itu memang berjaya.
Hampir semua saluran utama televisyen di Taiwan menayangkan sekurang-kurangnya dua siri drama Korea dan program video muzik K-Pop terkini pada waktu perdana.
Bagi stesen televisyen, lebih murah membeli drama Korea yang popular daripada menghasilkan program sendiri - yang belum tentu mendapat sambutan.
“Penghibur Korea mempunyai bahasa badan yang sangat baik untuk berlawak, malah mereka juga mengelak daripada meng�gunakan bahasa yang kasar, tidak seperti program terbitan Taiwan,” kata Vivi Ko, kakitangan kerajaan yang belajar bahasa Korea.
Jeritan peminat ketika konsert K-Pop adalah perkara biasa. Peminat Thailand contohnya bukan sekadar menjerit, bahkan menjulang sepanduk berlampu yang dibuat sendiri. Artis Korea pula menandatangani pelbagai produk termasuklah gula-gula dan skuter yang disasarkan untuk kanak-kanak dan remaja.
Di Filipina, tema drama Korea Selatan yang mementingkan kasih sayang keluarga, percintaan dan hakikat kehidupan membuatkan penonton terpaku di depan televisyen.
Drama Korea dialih ke bahasa Tagalog, malah wataknya turut diberikan nama seperti orang Filipina. Apabila pelakon terkenal Kwon Sang-woo melawat Manila beberapa tahun lalu, peminat memanggilnya dengan nama ‘Cholo’ - nama Tagalognya dalam drama Stairway To Heaven.
Selain itu elemen eksotik - latar belakang atau persekitaran di Korea Selatan, sama ada jambatan bercahaya yang merentasi Sungai Han atau kelopak bunga sakura berguguran - sangat menarik hati penonton Filipina.
Penulis Sparkling, majalah yang dikhususkan untuk K-Pop, terbang ke Seoul awal tahun ini untuk mencari dan melihat sendiri ‘lokasi panas Hallyu’ bagi memudahkan pelancong Filipina yang mahu melancong ke negara artis kesayangan mereka.
Kegilaan ini juga merebak ke negara lain. Remaja Thailand yang mahu kelihatan seperti orang Korea membeli produk kosmetik dari Korea Selatan. Antara yang popular ialah kanta sentuh yang boleh membuatkan mata seseorang nampak lebih bundar, seperti wajah comel dalam karektor kartun komik Jepun dan Korea.
Yoon Kyung-yeon, pendandan rambut Korea yang bekerja di Manila berkata, kini ramai pelanggannya mahukan gaya rambut pelakon wanita Ha Ji-won selepas drama Secret Garden ditayangkan di Filipina. Manakala lelaki Filipina pula mahukan potongan seperti rambut Lee Min-ho yang popular menerusi drama Boys Over Flowers.
Christine Rodriguez, 24, penganalisa media sosial di Manila berkata dia dan kawan-kawan akan berjumpa satu atau dua kali sebulan untuk ‘noraebang’ atau karaoke dalam bahasa Korea.
Tidak boleh bercakap dalam bahasa Korea bukan penghalang untuk mereka menyanyi dan meniru gerak tari penyanyi kumpulan TVXQ. Biasanya perjumpaan mereka akan diakhiri di restoran Korea yang terletak di sebelah pusat karaoke untuk menikmati snek ‘gimbap’ (nasi gulung) atau ‘ddeokbokki’ (kuih beras dalam kuah pedas), makanan jalanan yang popular dan sering dipaparkan dalam drama Korea.
Rodriguez menganggotai kelab peminat TVXQ yang kini ada 1,000 ahli. Kelab ini antara lebih 40 kelab yang menyertai Persidangan K-Pop Filipina kedua tahun lalu. Ia dihadiri 5,000 peminat dan lebih 60,000 suka dengan halaman khusus untuk K-Pop di Facebook.
Katanya, jumlah peminat K-Pop itu melonjak daripada 50 orang yang ditemui dalam forum sembang dan kumpulan e-mel pada 2001.
Miki Acuna, 21, lulusan kejururawatan dari Manila sanggup terbang ke Thailand dan New York untuk menonton konsert TVXQ. Katanya dia suka semua aspek mengenai TVXQ dari segi lagu, nyanyian, tarian, gaya dan penampilan kumpulan itu.
“Golongan muda hari ini mencari penampilan yang baru dan ranggi,” kata Schedar Jocson, pensyarah Universiti Filipina yang menulis kertas kerja mengenai pengaruh K-Pop di negaranya.
“Mereka mencari identiti sendiri atau tempat untuk bertapak. Baik program televisyen atau muzik pop, ia memberikan golongan muda sesuatu yang membolehkan mereka lebih menonjol dan bereksperimen berbanding rancangan terbitan tempatan,” katanya. – AP
No comments:
Post a Comment