myMetro | Ada apa dengan K-pop?
PENANGAN drama bersiri Winter Sonata dan Autumn In My Heart yang pernah disiarkan di negara kita beberapa tahun lalu begitu hebat. Bukan saja di sini, malah drama itu berjaya mendapat tempat hampir seluruh dunia termasuk di tanah Arab.
Jika diimbas kembali, 'Hallyu' atau Gelombang Korea, istilah yang diguna pakai untuk menggambarkan pengaruh budaya pop negara itu di peringkat global dikatakan lebih dahsyat berbanding pengaruh industri hiburan yang dari Jepun, Taiwan, India mahupun Amerika Latin satu ketika dulu.
Pencapaian khalayak industri sana memperkenalkan budaya pop mereka yang merangkumi drama dan muzik membantu negara itu untuk terus dikenali sekali gus menenggelamkan budaya pop negara lain yang jauh lebih lama berada dalam industri. Susulan gelombang itu yang semakin membesar dan tidak diketahui sampai bila akan berterusan, ramai pihak mula memandang serius melontarkan pendapat melalui blog, akhbar, program bual bicara dan sebagainya. Rata-rata daripada orang dalam industri hiburan atau mereka sekitarnya.
Untuk membuka ruang yang lebih luas, SELEBRITI mengambil peluang menemui beberapa peminat yang sudi berkongsi pandangan mengenai budaya pop Korea yang menjadi sebahagian daripada diari kehidupan mereka.
Bagi Nadiah Tasin, 28, drama bersiri Winter Sonata adalah pencetus minatnya terhadap seni budaya Korea. Kemudian, secara perlahan dia mula jatuh cinta pada irama pop Korea atau lebih sinonim dikenali sebagai K-pop melalui grup terkenal negara itu iaitu DBSK.
"Oleh kerana minat dan sering menonton drama serta muzik mereka, saya mula mengikuti kelas asas bahasa Korea. Tujuan utama memang sebab minat dan bila menghadiri kelas saya dah mula faham sikit demi sikit bahasa dan budaya mereka.
Pegawai bank itu turut berkongsi kisah betapa dia turut sanggup menghabiskan wang untuk ke konsert besar artis K-Pop seperti Jay Park, Beast, DBSK dan banyak lagi yang pernah diadakan di sini.
Katanya, drama Korea banyak menerapkan nilai kekeluargaan secara halus, terutamanya soal menghormati orang tua. Malah jika ditonton dengan teliti, adegan percintaan antara dua insan juga masih mengekalkan adab ketimuran. Contohnya adegan bercium yang tidak keterlaluan, tidak seperti yang sering ditonjolkan Barat.
Pendapatnya turut dipersetujui rakan, Norhayati Ahmad Jufri, 30. Kata Norhayati, jalan cerita yang tidak klise diserikan dengan pelakon kacak dan jelita menguatkan lagi sokongan mereka terhadap drama keluaran negara itu.
"Mereka juga bijak menggunakan drama sebagai produk pelancongan sekali gus merancakkan industri hiburan Korea. Manakala lagu-lagu yang digunakan dalam drama mereka juga lebih 'catchy' dan dapat diikuti semua orang.
"Sekiranya didengar teliti, irama K-pop berbeza dengan irama J-pop (Pop Jepun) atau irama pop lain," katanya yang menyifatkan biarpun budaya pop mereka menjurus kepada hiburan, pendekatan yang digunakan tidak jauh daripada budaya Asia yang tinggi nilai budayanya.
"Unsur seks, ganas yang terdapat dalam drama mereka tidak melampau malah masih boleh ditonton seisi keluarga. Mesej yang cuba disampaikan juga berkesan dan kena pada situasi semasa," kata Norhayati.
Lebih unik, kehadiran teman lelaki berbangsa Korea menambahkan keinginannya untuk mendalami budaya bangsa itu. Katanya pada mula pertemuan dengan teman lelakinya itu tidak berkaitan dengan fenomena Hallyu tapi tatkala menjalin hubungan, dia mula mengikuti pelbagai aktiviti berkaitan Korea.
Antaranya, menyertai sebuah kelab berasaskan peminat Korea yang dikatakan kini mencecah seribu ahli seluruh negara. Kelab yang dianggotai kedua-dua wanita itu sering mengadakan pelbagai program berkaitan budaya Korea. Ia termasuklah daripada segi hiburan, sukan dan pelancongan.
"Bagi kami, fenomena K-pop akan berterusan dan mungkin mengambil masa yang lama sebelum ia surut. Apatah lagi adab budaya timur serta sokongan padu daripada kementerian di negara mereka, gelombang Korea pasti terus berkembang," kata Norizan Ramli, 27, pula.
Norizan menyarankan agar elemen positif yang terdapat di dalam setiap drama dan muzik mereka dijadikan contoh warga hiburan tempatan untuk terus menghasilkan karya yang dapat diterima semua.
Bukan menuduh drama dan muzik tempatan tidak berkualiti, wanita itu berharap penerbit tempatan sokongan daripada semua pihak amat penting untuk terus menaikkan status hiburan tempatan ke peringkat global, seperti yang dilakukan pihak berwajib Korea.
"Contoh drama tempatan yang dilihat seakan sinonim dengan budaya Korea ialah drama bersiri Nur Kasih. Drama itu bukan saja memiliki jalan cerita yang berbeza, malah penonjolan beberapa lokasi menarik di negara kita menambat hati untuk lebih kenal diri sendiri," katanya yang berharap lebih banyak produk seperti itu dapat dihasilkan warga seni tempatan.
Tatkala mendengar hujah dan pendapat mereka, disimpulkan bahawa banyak perkara logik yang positif dapat diguna pakai warga kreatif dan pihak berwajib. Biarpun industri seni kita sudah mula menunjukkan perkembangan sihat, pengaruh luar yang disifatkan negatif selama ini patut dilihat semula sebagai sumber idea baru.
hehehee.. xde aper dgn k pop..
ReplyDeletehi~~~kpop + kdrama is the best ~~ sye di besarkan dengan korean drama ~~ since tadika da layan korean drama *bia btol*?? hehe ~~ smpy x ingt ape tjuk citer yg tgk mse uw ~~tp yg ingt start tym cter sorry i love u ~~ cite uw sye tgk mse darjah 2 ke 3~~hehehe ~~ tp dulu x serancak sekarng ~~skrng memang rancak je dgn semue huruf yg berkaitan K..ahaha~~ cube teke skrang umur sye bape??? ^^ *nk ckp >> sye suke korean drama dari kecik xda pengaruh dari sape2x memang sendiri suke* ~~perh macm nak bwt esei ni ~~ hehe
ReplyDelete